Selasa, 3 Februari 2009

Komitmen jaga alam sekitar perlu dilaksanakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memastikan lima komitmennya terhadap penjagaan alam sekitar yang termaktub dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dilaksanakan mengikut kaedah dan masa yang tepat. 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata ini kerana ada komitmen yang dibentangkan di Parlimen itu sudah diumumkan sebelum ini, tetapi masih belum menunjukkan sebarang kesan. 

Katanya, ia menunjukkan kelemahan dari segi pelaksanaan, walaupun di kertas ia nampak cantik dalam mencapai hasrat menjadikan negara ini lebih bersih dan bebas pencemaran alam sekitar. 

“Kita sebelum ini sudah pernah melakukan usaha untuk mempertingkatkan lembangan sungai tercemar daripada kelas tiga kepada kelas dua, tetapi gagal dan ia berpunca daripada pelantikan agensi berbeza untuk menguruskan projek pembersihan sungai. 

“Apabila ia berlaku, mereka hanya melakukan kerja berdasarkan skop kerja mereka saja dan ini menyebabkan kerja tidak dapat disiapkan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam. 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK-9 bagi tempoh dua tahun sehingga 2010, mengumumkan lima langkah proaktif iaitu mengurangkan sulfur dalam diesel daripada 3,000 ppm (bahagian per sejuta) kepada 500 ppm, manakala petrol daripada 1,500 ppm kepada 500 ppm. 

Komitmen juga merangkumi kepada usaha mempertingkatkan lembangan sungai tercemar daripada kelas tiga kepada kelas dua, menyediakan pangkalan data mengenai biologi negara, keupayaan dalam perundangan mengenai isu biologi, bioteknologi serta biokeselamatan dan pelan induk berdasarkan holistik serta bersepadu bagi menyelesaikan masalah banjir. 

Sambil menganggap pendekatan diambil itu cukup realistik, Prof Zaini berkata, sebagai langkah penyelesaian, kerajaan boleh melantik kontraktor pusat seperti contoh Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam melaksanakan projek itu. 

“Ini kerana skop kerja JKR adalah secara keseluruhannya dan tidak akan timbul lagi masalah kelewatan atau penangguhan proses menyiapkan projek berkenaan,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Persatuan Pencinta Alam (MNS), Loh Chi Leong berkata, pihaknya menyambut baik langkah diambil kerajaan itu bagi memastikan keadaan persekitaran sentiasa terpelihara. 

“Bagaimanapun, kami agak risau apabila ada peruntukan berjumlah RM1 bilion diberikan kepada Sarawak untuk melaksanakan pelbagai projek. Kami berharap, ia tidak akan menjejaskan alam sekitar di negeri itu,” katanya.

Dipetik dari sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.