Sabtu, 1 Ogos 2009

Nota Pengajian Am 1 - Perlembagaan

Pengenalan Perlembagaan 

• Perlembagaan merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan serta prinsip sebagai asas kepada pembentukan kerajaan dan juga panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara 
• Perlembagaan sesebuah negara boleh wujud dalam bentuk bertulis dan juga tidak bertulis. Perlembagaan Malaysia adalah contoh perlembagaan bertulis. Contoh perlembagaan tidak bertulis ialah perlembagaan United Kingdom. 
• Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik. Ia menjamin pentadbiran yang cekap, jujur, ikhlas, telus dan adil serta menjamin taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi kepada negara

Perlembagaan Malaysia 



• Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Ia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957.
 
• Ia merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang. Semua undang-undang lain hendaklah tidak bertentangan dengan perlembagaan :


“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama 
 Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang 
 diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang 
 berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah 
 terbatal setakat berlawanan dengan itu”.
 
  Perkara 4(1)


• Perlembagaan Persekutuan memberikan jaminan terhadap hak asasi dan kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara ini. 

• Selain itu ia menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

Sejarah Ringkas Perlembagaan Malaysia kembali

 

  
Sejarah perlembagaan moden Malaysia bermula pada akhir abad ke 19, ketika kerajaan British menguasai Tanah Melayu.

Kronologi ringkasnya adalah seperti berikut:

• 1905 – sebuah badan perundangan pusat yang dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) ditubuhkan. Semua undang-undang yang dibuat oleh mana-mana negeri mestilah bersesuaian dan tidak bertentangan dengan undang-undang yang dibuat oleh MMP. Sungguh pun begitu MMP tidak mempunyai kuasa ke atas hal ehwal agama Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu.

• 1927 – melalui pindaan Perjanjian Persekutuan bagi anggota-anggota MMP, MMP diberi kuasa untuk membuat undang-undang bagi seluruh negeri-negeri Melayu Bersekutu. Raja-raja Melayu tidak lagi mengambil bahagian dalam perbincangan MMP. Ini menjadikan kuasa kerajaan pusat menjadi kuat. Sementara itu kedudukan Dewan Negeri diperkuat dan beberapa kuasa yang dulunya dijalankan oleh Ketua Setiausaha (Pegawai British) diserahkan kepada Dewan Negeri. Jawatan Ketua Setiausaha ditukar kepada Setiausaha Persekutuan.

• Di bawah Malayan Union pula, segala kuasa terletak di tangan gabenor termasuk kuasa memberi ampun pada orang salah. Gabenor boleh membatalkan segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Perundangan. Majlis Perundangan Negeri di setiap negeri pula hanya boleh membuat undang-undang tentang perkara tempatan sahaja dan ia boleh dibatalkan oleh Majlis Perundangan Malayan Union.

• 1948 – Malayan Union dimansuhkan dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 2 Februari 1948. Majlis Perundangan Persekutuan ditubuhkan di mana ia mempunyai kuasa membuat undang-undang. Pesuruhjaya Tinggi pula mempunyai kusa veto (pembatal) untuk menghalang rang undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Sementara itu Majlis Perundangan Negeri mempunyai kuasa yang terhad seperti yang disebuat dalam Jadual Kedua bagi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

• Sejak tahun 1948, setiap negeri Melayu mempunyai perlembagaan masing-masing. Johor dan Terengganu telah pun mempunyai perlembagaan lebih awal lagi, masing-masing pada tahun 1895 dan 1911. Ianya dipinda supaya sesuai dengan kehendak Perjanjian Persekutaun 1948. 

• Jun 1955 – pilihanraya pertama diadakan bagi memilih anggota-anggota Majlis Perundangan Persekutuan – mengandungi 52 anggota yang dipilih, 34 anggota yang dilantik dan 12 pegawai kerajaan, dan seorang Pengerusi dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi dengan persetujuan Raja-raja.

• Mac 1956 – Jawatankuasa Perlembagaan telah dibentuk yang diketuai oleh Lord Reid. Jawatankuasa ini diberi tugas merangka Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan sebuah kerajaan pusat.Jawatankuasa ini mula menjalankan tugasnya pada Jun 1956, dan telah menggemukakan laporannya pada Disember 1956. Laporan ini dikaji, diteliti dan kemudiannya digubal menjadi Perlembagaan Persekutuan.

• Pembentukan perlembagaan telah diluluskan pada 27 Ogos 1957 dan dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957.

• Julai 1963 – Perjanjian Malaysia ditandatangani di London oleh kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Mengikut perjanjian ini Parlimen British akan meluluskan satu undang-undang untuk memberi kemerdekaan kepada Singapura, Sabah dan Sarawak yang masing-masing akan mempunyai perlembagaan baru. Bagi Persekutuan Tanah Melayu, Parlimen Persekutuan akan meluluskan satu undang-undang yang dipanggil Akta Malaysia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Akta Malaysia ini telah diluluskan pada 26 Ogos 1963.

Kandungan Perlembagaan Persekutuan kembali

 

  
• Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 Perkara beserta dengan 13 Jadual. Bagi setiap perkara terdapat beberapa Fasal yang dijelaskan dengan terperinci sebagai garis panduan perundangan dan kepentingan rakyat.

• Perlembagaan Persekutuan juga mengandungi beberapa perkara yang tidak boleh dipersoalkan seperti:

- agama Islam sebagai agama rasmi;
- kedududkan istemewa Raja-raja Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak;
- kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan,
- soal kerakyatan.

• Susunan Perkara-Perkara Dalam Perlembagaan:

  Perkara 1 hingga 4
  Negeri-negeri, Agama dan Undang-undang bagi  
  Persekutuan

  Perkara 5 hingga 13 
  Kebebasan Asasi

  Perkara 14 hingga 22
  Kewarganegaraan (Bab 1 – Perolehan Kewarganegaraan)

  Perkara 23 hingga 28A
  Kewarganegaraan (Bab 2 – Penamatan Kewarganegraan)

  Perkara 29 hingga 31
  Kewarganegaraan (Bab 3 – Tambahan)

  Perkara 32 hingga 37  
  Persekutuan (Bab 1 – Ketua utama negara)

  Perkara 38
  Persekutuan (Bab 2 – Majlis Raja-Raja)

  Perkara 39 hingga 43C
  Persekutuan (Bab 3 – Pemerintah)

  Perkara 44 hingga 65
  Persekutuan (Bab 4 – Badan-badan Perundangan
  Persekutuan)

  Perkara 66 hingga 68
  Persekutuan (Bab 5 – Acara perundangan)

  Perkara 69 
  Persekutuan Bab 6 – Keupayaan terhadap harta, kontrak 
  Dan guaman )

  Perkara 70 hingga 72
  Negeri-negeri

  Perkara 73 hingga 79
  Perhubungan Antara persekutuan dengan Negeri-negeri
  (Bab 1 – Bahagian kuasa-kuasa perundangan)

  Perkara 80 hingga 81
  Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
  (Bab 2 – Pembahagian antara kuasa-kusa pemerintah)

  Perkara 82
  Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri
  (Bab 3 – Pembahagian beban kewangan)

  Perkara 83 hingga 91
  Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
  (Bab 4 – Tanah)

  Perkara 92
  Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri 
  (Bab 5 – Pembangunan negara)

 Perkara 93 hingga 95
 Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
 (Bab 6 – Tinjauan, nasihat Persekutuan kepada Negeri dan 
 pemeriksaan mengenai kegiatan Negeri)
 
 Perkara 95A hingga 95E
 Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
 (Bab 7 – Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan)

 Perkara 96 hingga 112
 Peruntukan-peruntukan Kewangan (Bab 1 – Am)

 Perkara 112A – 112D
 Peruntukan-peruntukan Kewangan (Bab 2 – Pemakaian
 Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak)

 Perkara 113 hingga 120 
 Pilihanraya

 Perkara 121 hingga 131A 
 Perhakiman

 Perkara 132 hingga 148
 Perkhidmatan Awam

 Perkara 149 hingga 151
 Kuasa-kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif dan 
 Kuasa-kuasa Darurat

 Perkara 152 hingga 160B
 Am dan Pelbagai

 Perkara 161 hingga 161H
 Perlindungan Tambahan bagi Sabah dan Sarawak

 Perkara 162 hingga 180
 Peruntukan Sementara dan Peralihan

 Perkara 181
 Pengecualian bagi Kedaulatan Raja-raja

 Perkara 183 hingga 183
 Prosiding Terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja


Beberapa Perkara Asas Perlembagaan kembali

 

  

• Kedudukan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA)

Perkara 32 menyatakan Ketua utama bagi Persekutaun ialah YDPA, iaitu seorang raja yang dipilih daripada raja-raja sembilan buah negeri Melayu. Berdasarkan sistem Raja Berpelembagaan, YDPA diberi kuasa memerintah Persekutuan. Namun begitu Perkara 39 dan 40 menyatakan bahawa baginda dikehendaki bertindak atas nasihat jemaah menteri atau seorang menteri yang diberi kuasa dari jemaah menteri.

Perkara 41 pula menyatakan YDPA juga adalah Pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, sementara Perkara 42 pula meletakkan baginda mempunyai kusa untuk mengampun dan menangguhkan hukuman terhadap orang yang telah disabitkan oleh mahkamah tentera bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perkara 44 meletakkan baginda salah satu daripada tiga komponen badan perundangan Persekutuan, iaitu Parlimen. Perkara 71 pula menyediakan peruntukan bagi menjamin hak sesorang raja sesuatu negeri untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistemewaan di sisi perlembagaan bagi sesorang raja di dalam negeri itu. 

Perkara153 telah mengamanahkan baginda tanggungjawab untuk memelihara kedudukan istemewa orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain.

Perkara 122B menjelaskan bahawa kuasa melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi adalah ditangan baginda atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-raja. 


• Kedudukan Agama Islam

Perkara 3 Perlembagaan menjelaskan bahawa ugama Islam ialah ugama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11). Namun begitu hak-hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri, atau undang-undang Persekutuan bagi kes Wilayah Persekutuan, jika pengembangan itu dibuat di kalangan mereka yang telah menganut agama Islam – Perkara 11 (4).


• Kedudukan Bahasa Melayu

Perkara 152 (1) menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan. Bahasa ini secara automatisnya menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud “rasmi” ditakrifkan oleh Perkara 152 (6) dengan makna “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerjaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.


• Kedudukan Istemewa Orang Melayu 

Perkara 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi : 
- perkhidmatan awam : Perkara 153 (2,3 dan 4) 

- ekonomi : Perkara 153 (6) 

- pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4)

- Kedudukan Istemewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 – berhubung dengan tanah rizab Melayu.

- Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).


• Kewarganegaraan 

Apabila Perlembagaan 1957 maka dengan sendirinya negara mempunyai undang-undang kerakyatannya yang selaras.Kewarganegaraan dalam Perlembagaan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:-

- Perolehan Kewarganegraan : 
  Bahagian 3 Perlembagaan (Bab 1)

- Penamatan Kewarganegaraqan
Bahagian 3 Perlembagaan (Bab 2)

-Peruntukan Tambahan 
Bahagian 3 Perlembgaan (Bab 3)

Dalam Perlembgaan ada dua cara menyebabkan sesorang itu boleh hilang kewarganegarannya:
 
-Perkara 24 menyatakan bahawa kerakyatan akan 
 dilucutkan sekiranya mendapat kerakyatan  
 daripada negara lain

-Perkara 25 menyebut bahawa kerakyatan akan  
 dilucutkan sekiranya terbukti tidak setia kepada  
 negara.



• KEBEBASAN HAK ASASI

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberikan Kebebasan Hak Asasi kepada seluruh warganegaranya sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak-Hak Asasi ini meliputi :

Perkara 5 : Kebebasan Diri 

Perkara 6 : Kebebasan Ekonomi (hamba abdi dan 
 buruh paksa)

Perkara 7 : Perlindungan daripada undang-undang 
  Jenayah

Perkara 8 : Hak Kesamarataan

Perkara 9 : Hak Kebebasbn Bergerak

Perkara 10 : Kebebasan Bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan
 
  Perkara 11 : Kebebasan Beragama

  Perkara 12 : Hak Mendapat Pendidikan 

  Perkara 13 : Hak Terhadap Harta

Catatan : Untuk kepentingan, kebaikan dan keselamatan negara keseluruahannya haka-hak tersebut boleh disekat melalui antaranya: 

• Perkara 149 – Perbuatan Subversif 
• Perkara 150 – Kuasa-kuasa Darurat 
• Perkara 159 – Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 
• Akta Universiti dan Kolej 1971 pindaan 1975 
• Dan beberapa akta lain.

http://pmr.penerangan.gov.my/article.cfm?id=233 6 okt 08

April 16, 2008...8:39 pm
Artikel 153 Perlembagaan Malaysia, Ketuanan Melayu dan Kontrak Sosial
Jump to Comments 

Salam semua,
Blog ini menerima email daripada seorang pembaca supaya artikel mengenai Ketuanan Melayu dituliskan di dalam blog ini supaya orang ramai faham mengenai perkara di atas. Ini disebabkan menurut beliau, rata-rata generasi muda melayu tidak faham mengapa ketuanan melayu harus dipertahankan. Penulis membuat sedikit carian dan kajian mengenai Ketuanan Melayu dan mendapati bahawa bukan isu mengenai Ketuanan Melayu harus dipostkan tetapi juga mengenai Artikel 153 dan kontrak sosial Malaysia harus dipostkan kerana ia saling mengaitkan antara satu sama lain. Sumber rujukan dari wikipedia dan lawnet.
Artikel 153 Perlembagaan Malaysia
Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada sosial kontrak, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia.
Berikut adalah penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia.
Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.
(2) Walau apa pun apa-aa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalnakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.
(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.
(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.
(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.
(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—
(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau
(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau
(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.
(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
(9A) Dalam Perkara ini ungkapan “anak negeri” berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.
(10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.
Terdapat perbezaan ketara di antara artikel 153 perlembagaan Malaysia dengan artikel 153 perlembagaan Singapura yang masing-masing menyebut mengenai hak istimewa orang Melayu. Artikel 153 (Malaysia) lebih spesifik dengan menjelaskan bagaimana hak-hak orang Melayu dan Bumiputra Malaysia dipertahankan. 
Ketuanan Melayu
Ketuanan Melayu ialah konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia . Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil Kontrak Sosial. Konsep Ketuanan Melayu ini sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.
Walaupun retorik ini wujud sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, frasa ketuanan Melayu tidak menjadi satu perkara yang disebut ramai hingga ke awal tahun 2000-an. Kebanyakan tentangan konsep ini adalah daripada parti-parti yang tidak berdasarkan kaum Melayu, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), tetapi sebelum kemerdekaan orang Baba dan Nyonya juga menentang konsep ini. Konsep keulungan kaum Melayu mendapat perhatian dalam tahun 1940-an apabila orang Melayu bersatu untuk menentang penubuhan Malayan Union dan kemudian, berjuang untuk kemerdekaan. Semasa tahun 60-an, terdapat usaha yang cukup besar untuk mencabar ketuanan Melayu, diketuai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura — yang merupakan negeri Malaysia dari 1963 hingga 1965 — dan DAP selepas pemisahan Singapura. Walaupun begitu, sebahagian Perlembagaan berkaitan ketuanan Melayu berakar umbi selepas rusuhan kaum Mei 13, 1969 yang terjadi akibat kempen pilihan raya yang menjadikan hak-hak orang bukan Melayu dan ketuanan Melayu sebagai isu tumpuan. Tempoh ini juga menyaksikan kebangkitan ultra yang mendesak agar kerajaan parti tunggal diketuai UMNO, dan pertambahan penekanan bahawa orang Melayu merupakan “orang asal” Malaysia — iaitu hanya orang Melayu boleh dianggap penduduk asal Malaysia.
Tentangan yang dimainkan oleh DAP ini sebenarnya merupakan lanjutan tentangan yang dimainkan oleh parti induk DAP iaitu parti PAP(Singapura). 
Berikut adalah tentangan mengenai ketuanan Melayu di dalam fasal 153 Perlembagaan Malaysia oleh PAP.
Ahli politik Singapura, Lee Kuan Yew (kemudian menjadi Perdana Menteri Singapura) Parti Tindakan Rakyat (PAP; cawangannya di Malaysia kemudiannya menjadi Parti Tindakan Demokratik atau DAP) secara umumnya mempersoalkan keperluan Artikel 153 dalam Parliamen, dan menyeru satu “Malaysian Malaysia”. Mempersoalkan kontrak sosial , Lee telah menyatakan: “Merujuk kepada sejarah, orang Melayu telah mula untuk berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang banyak hanya kira-kira 700 tahun yang lalu. Dalam 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira sepertiga secara perbandingan hanya imigran seperti setiausaha agung UMNO, Dato’ Syed Ja’afar Albar, yang datang ke Malaya dari Indonesia sebelum perang ketika berumur lebih tiga puluh tahun.
Kontrak Sosial
Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.
Kontrak sosial selama ini telah lama diamalkan oleh para pemimpin terutamanya pemimpin dari parti kompenen Barisan Nasional. Tidak terdapat syarat-syarat formal mengenai kontrak sosial ini. Di bawah sedikit petikan mengenai kontrak sosial.
Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah “kontrak sosial” (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: “Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak.” [1]
Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.
Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.
Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar “meritokrasi”. Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.
Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.
Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.
Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa “…apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan.” Bagaimanapun, dia menambah bahawa “Bagi mereka yang mencintai dan berasa bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.”
Ketiga-tiga di atas merupakan sentimen yang sering dimainkan oleh parti-parti politik sejak kebelakangan ini. Semangan muhibah dikalangan pemimpin-pemimpin awal negara seakan-akan dipermainkan oleh anak cucu mereka yang menjadi pemimpin parti-parti politik pada hari ini. Persoalannya ketika isu kontrak sosial dimainkan oleh pemimpin bukan melayu…di mana pemimpin-pemimpin Melayu terutama dari pembangkang tampil mempertahankan kontrak sosial yang sudah sekian lama terbina?? Adakah adil sekiranya kita membiarkan konsep Ketuanan Melayu ini dihapuskan dan diganti dengan konsep Ketuanan Rakyat (sedangkan Ketuanan Melayu juga adalah sama kecuali penekanan yang lebih diberikan kepada orang Melayu) yang belum terbukti lagi menjamin masa depan orang Melayu? Adilkah sekiranya anak-anak kita terpaksa mengharungi keperitan untuk ‘survive’ di masa hadapan sedangkan kita telah membesar dengan agak selesa sehingga apa yang kita kecapi setakat hari ini adalah hasil dari konsep Ketuanan Melayu. Diharap anak-anak muda faham akan kenapa walaupun negara kita sudah 50tahun merdeka konsep ini masih digunapakai. Konsep ini bukan lah sesuatu yang baru dan sejarah membukti bahawa terpisahnya Malaysia dengan Singapura adalah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin parti induk DAP iaitu PAP yang memainkan isu ketuanan Melayu ini. Adakah anda lebih gemar konsep Ketuanan Melayu ini digugurkan dan digantikan dengan konsep Malaysian Malaysia atau konsep Ketuanan Rakyat??? Bukankah pemimpin parti seperti PKR dan PAS ini merupakan anak-anak yang membesar hasil dari konsep Ketuanan Melayu ini. Cuba fikirkan di mana pemimpin-pemimpin ini berada sekiranya konsep Ketuanan Melayu dihapuskan dahulu?? Adakah mereka akan begelar pemimpin??
Terkini:
Istilah “Ketuanan Melayu” perlu dilihat dalam konteks perjuangan orang Melayu sebelum merdeka yang menganggap Semenenjung Tanah Melayu sebagai tanah pusaka (sons of the soil) seperti yang diakui oleh pihak penjajah British ketika itu. Istilah ini juga merujuk kepada situasi sebelum merdeka yang menjelaskan reaksi orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union yang telah menghapuskan “Ketuanan Melayu” dari segi kedaulatan, kuasa politik dan isu kewarganegaraan yang longgar. “Ketuanan Melayu” dilaungkan oleh pemimpin Melayu pada ketika itu bagi menyatupadukan orang Melayu menentang Malayan Union dan bukannya menuntut kemerdekaan. Oleh itu, konsep ini ialah peristiwa dan reality sejarah pada ketika itu dan ia dimasukkan bukan bertujuan untuk menggugat perpaduan masyarakat Malaysia.
Istilah di atas merupakan penjelasan Kementerian Pendidikan mengenai Ketuanan Melayu. Penjelasan ini dipetik dari blog LKS.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.